Creador Foundation menyumbang peralatan perubatan bernilai RM1.77 juta dalam usaha memerangi wabak COVID-19 di Malaysia


 KUALA LUMPUR, - Creador Foundation, cabang bukan untung firma ekuiti swasta Creador, baru-baru ini telah membuat sumbangan bernilai RM1.77 juta dalam bentuk peralatan perubatan kepada hospital-hospital di serata Malaysia, sementara pengedaran peralatan perubatan tersebut dikendalikan oleh Pasukan Petugas Khas COVID-19 Greater Klang Valley. 

Sumbangan oleh Creador Foundation itu merangkumi 300 unit alat pemekat oksigen berkapasiti 10L serta 480 unit silinder oksigen dan pengatur oksigen, yang akan dapat membantu hospital-hospital di seluruh negara memenuhi keperluan rawatan pesakit-pesakit COVID-19 Kategori 4 yang mendesak. 

Mengumumkan sumbangan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Creador, Brahmal Vasudevan, berkata, “Creador Foundation komited menyokong usaha-usaha tempatan yang dapat memberi impak yang berkekalan terhadap komuniti-komuniti di mana kami beroperasi. Pandemik COVID-19, dengan cabaran kewujudan pelbagai varian dan kadar jangkitan yang tinggi, benar-benar memberi bebanan kepada sistem kesihatan kita sehingga menghampiri takat lumpuh. Kami mengambil inisiatif untuk mencari dan mendapatkan peralatan perubatan ini supaya segera dihantar ke Malaysia, agar lebih ramai pesakit berpeluang untuk diselamatkan.”



“Pasukan Petugas Khas COVID-19 Greater Klang Valley telah memberi sokongan yang amat baik terhadap usaha kami dengan membantu mengedarkan peralatan yang kami sumbangkan. Begitu juga dengan rakan perniagaan kami yang telah berusaha keras untuk memperoleh dan menghantar semua peralatan tersebut ke Malaysia, walaupun terdapat kekurangan bekalan yang ketara pada peringkat global.  Kami mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri Kesihatan, YBhg Dato' KSU dan  semua pihak kerana telah memberi kerjasama yang padu kepada pasukan kami di Creador Foundation untuk melancarkan usaha ini,” tambah Vasudevan.  

Susulan pengumuman itu, Datuk Dr Chong Chee Kheong, yang mengetuai Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley untuk COVID-19 berkata, “Kami sangat berterima kasih kepada Creador Foundation atas kemurahan hati memberi sumbangan yang amat besar terhadap usaha bantuan COVID-19 di peringkat kebangsaan, terutamanya pada saat-saat yang kritikal ini. Sememangnya penghantaran peralatan perubatan kepada hospital-hospital di seluruh negara sangat diperlukan untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19 agar dapat sembuh daripada jangkitan virus itu.” 


Selain daripada sumbangan tersebut, Creador Foundation turut menyokong usaha pemberian bantuan makanan di seluruh negara. Hasil jalinan kerjasama dengan beberapa NGO tempatan, Creador Foundation telah berjaya mengedarkan pek makanan kepada lebih daripada 12,000 buah keluarga di pelbagai lokasi serata Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, Perak, Negeri Sembilan dan Lembah Kelang. Pek makanan yang diedarkan mengandungi barangan makanan asas yang mencukupi sebagai bekalan untuk sebuah keluarga selama dua minggu, dan turut termasuk barangan keperluan yang mendapat permintaan tinggi seperti formula susu bayi dan lampin bayi. 

“Matlamat kami menerusi Creador Foundation ialah untuk membawa sinar harapan kepada mereka yang memerlukan, sama ada melalui sumbangan peralatan perubatan untuk menyelamatkan nyawa dan menyokong usaha pasukan petugas kesihatan barisan hadapan kita, atau dengan memberi bantuan makanan kepada mereka yang menghadapi kesempitan kewangan. Kami komited menghulurkan pertolongan sebanyak mana yang boleh,” kata Vasudevan. 

Pada awal tahun 2020, Creador Foundation telah bersiap sedia menggembleng sumber yang ada untuk membekalkan bantuan makanan dan peralatan perubatan kepada komuniti-komuniti yang paling terjejas akibat pandemik dan sekatan pergerakan yang dikenakan. Creador Foundation turut memberi sokongan terhadap usaha bantuan COVID-19 di negara-negara lain di mana ia beroperasi.

- SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)