ATM KOMITED BANTU SABAH CAPAI IMUNITI KELOMPOK


KUALA LUMPUR, - ATM terus komited membantu negara dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di seluruh negara. Usaha ini diteruskan oleh Tentera Darat Malaysia di kawasan pedalaman Sabah melalui Program Army Combat Medic Vaccination Team (ACMVT) bagi mencapai sasaran 80% vaksinasi yang disasarkan di negeri berkenaan.

Dengan kesiagaan dari ketumbukan Lima Divisyen Nerang Separang, usaha ini diteruskan di kawasan pedalaman bahagian Tongod iaitu di Sekolah Kebangsaan Kampung Inarad Tongod pada 2 dan 3 Sep 21 setelah kejayaan memberikan vaksinasi kepada lebih 2407 penduduk  melibatkan tiga lokasi pedalaman sebelum ini. 



Tim Perubatan ACMVT seramai 13 pegawai dan anggota paramedik daripada Briged Ke-13 Infantri telah diaturgerak dengan mensasarkan seramai 1200 penerima vaksin jenis CanSino. Usaha ini turut mendapat kerjasama dari Pejabat Daerah Tongod serta beberapa agensi awam lain bagi memastikan proses vaksinasi dapat berjalan dengan lancar.



Kesepaduan usaha berterusan ini juga akan membantu kejayaan task force baharu yang diwujudkan bagi mengkoordinasi gerak kerja Kementerian Pertahanan Malaysia dan ATM khususnya dalam mengurus dan memenuhi agenda nasional untuk memerangi COVID-19 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini. 

Turut hadir menyaksikan program vaksinasi ini adalah Dato' Masiung Banah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut.

Sumber Berita: Sel Perhubungan Raya 5 Div.



Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)