Sarawak Negeri Pertama Beri Dos Penggalak Mula Oktober Ini - Khairy Jamaluddin
KUCHING, - YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan telah mengadakan lawatan kerja sehari ke Sarawak. Lawatan dimulakan dengan Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan bersama YB Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin. Mesyuarat ini diadakan di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak.
Turut serta dalam mesyuarat ini YB Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sarawak, YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Atom, Menteri Utiliti Negeri Sarawak dan YB Dr. Haji Annuar Rapa’ee, Menteri Muda Pendidikan, Sains Dan Penyelidikan Teknologi Dan Menteri Muda Perumahan Dan Kesihatan Awam
Dalam satu sidang media, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu, dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.
Katanya lagi, Sarawak akan memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 pada bulan Oktober ini sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan,
Selepas sidang media, Menteri Kesihatan dan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia kemudiannya telah mengadakan mesyuarat hibrid bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Lawatan kerja ini diteruskan dengan lawatan kerja ke tapak projek Hospital Petra Jaya dan Hospital Umum Sarawak serta Blood Bank di Hospital Umum Sarawak.
Turut mengiringi YB Menteri Kesihatan dalam lawatan kerja sehari ini adalah YB Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, Dato’ Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato' Seri Dr Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr, Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dato’ Dr. Asmayani Khalib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) dan pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
- SMNETNEWS