Carilamat - Mangsa Pertama Pekerja Kelong Ditemui
PELABUHAN KLANG, - Maritim Negeri Selangor telah mengesahkan penemuan satu mayat lelaki dipercayai salah seorang mangsa pekerja kelong yang jatuh laut tiga hari lepas pada kedudukan sekitar lebih kurang 0.1 batu nautika timur Pulau Tengah, Selangor.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli bin Kassim berkata, mayat mangsa ditemui oleh orang awam lebih kurang jam 7.30 pagi tadi dan pengecaman awal oleh majikan kelong, mengesyaki mayat tersebut dipercayai pekerjanya iaitu Priadi, 34 tahun, warga indonesia.
Mangsa dilaporkan telah jatuh ke laut bersama seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui iaitu Saw Bearry Htoo, 30 tahun, warga Myanmar.
Kedua–dua mangsa dikatakan dilihat kali terakhir memakai baju KS Aquaculture berwarna putih dengan seluar bewarna biru sebelum dilaporkan hilang di laut.
Mayat telah dibawa ke Jeti Pulau Ketam bagi proses pengecaman dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi CARILAMAT diteruskan bagi mencari mangsa kedua oleh pasukan CARILAMAT dengan Maritim Malaysia mengatur gerak bot PENGAWAL 26 serta dua unit jetski dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),
Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) serta komuniti nelayan setempat.
Operasi hari ini merangkumi keluasan 63.52 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pulau Tengah dan diperluaskan lagi hingga ke luar kawasan pulau, paya bakau serta sangkar ikan berhampiran. Cuaca di lokasi dilaporkan cerah dengan kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam.
Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.
Sumber & Foto: Maritim Malaysia