Maritim Malaysia Tahan Kapal Tangki Bersauh Tanpa Kebenaran

 


KOTA TINGGI, - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor telah menahan sebuah kapal tangki disyaki bersauh tanpa kebenaran menerusi Operasi Jangkar Haram di perairan Johor Timur petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar dari negara Saint Kitts and Nevis itu ditahan di kedudukan 26 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, Johor pada jam 3.36 petang semalam.

Kapal tangki itu dikendalikan tujuh kru, warga Myanmar dan Indonesia berumur antara 22 tahun hingga 59 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia.

Kapal tangki berserta semua kru telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Berikutan penguatkuasaan Op Jangkar Haram, berlaku penurunan ketara aktiviti berlabuh secara haram di kawasan Tompok Utara yang dahulunya menjadi 'hotspot' bagi kapal-kapal dagang.

Namun demikian, Maritim Malaysia Negeri Johor akan meneruskan penguatkuasaan Op Jangkar Haram dan sentiasa memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negeri Johor sentiasa dipelihara.

SUMBER & FOTO: Maritim Malaysia 


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)