TITAH RASMI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MUHAMMAD V

 


KOTA BHARU, - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negeri Kelantan Darulnaim mendesak rakyat Kelantan yang belum divaksin supaya mendaftar untuk menerima vaksin atau mendapatkan vaksin secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri Kelantan supaya negeri Kelantan berjaya mencapai imuniti kelompok (suntikan vaksin 80 peratus) pada 30 September 2021 seperti yang dirancang.

Baginda berasa amat berdukacita melihat negeri Kelantan antara negeri yang mempunyai peratusan penerima vaksin yang terendah sebanyak 50 peratus. Baginda mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin mengenai peruntukan 1.2 juta dos tambahan untuk Kelantan bagi membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin dan Baginda benar-benar berharap agar rakyat Kelantan akan segera mendapatkan vaksin supaya dapat melindungi diri sendiri dan ahli keluarga mereka.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V bertitah bahawa mengambil vaksin adalah tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Baginda turut merujuk kepada resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersetuju hukum penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Dengan kes positif di negeri Kelantan di paras empat angka, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V turut menyarankan supaya semua pihak menggembleng tenaga memperluaskan outreach programme di seluruh pelusuk negeri Kelantan terutama sekali di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman supaya masyarakat yakin akan keberkesanan vaksin dan tidak bersangka buruk terhadap vaksin.

Baginda amat berharap rakyat Kelantan akan segera mendapatkan vaksin supaya Kelantan tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok dan seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik, hospital tidak lagi terbeban dan rawatan untuk pesakit-pesakit lain tidak terjejas.

Baginda juga turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi di negara ini termasuk sukarelawan, dan amat menghargai jasa petugas-petugas kesihatan yang memikul amanah berat dalam merawat dan menyelamatkan pesakit Covid-19 sejak tahun lepas. 


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)