COVID-19 - KITA BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KESELAMATAN KITA SEMUA

 


Pengumuman penuntupan sesi persekolahan di seluruh negeri yang akan bermula esok yang dibuat oleh Menteri Kanan (Pendidikan) tengahari tadi bukanlah satu keputusan yang mudah yang dibuat oleh pihak kementerian tetapi inilah yang terbaik bagi mengelakkan penularan wabak dalam kalangan pelajar sekolah. 

Saya menjangkakan apabila sekolah ditutup ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kebanyakan negeri di semenanjung pasti pergerakan rentas negeri akan berlaku. Keadaan ini sememangnya sukar untuk dielak memandangkan masing-masing memikirkan perancangan menguruskan keluarga apabila anak tidak bersekolah. Saya percaya, rakyat kita pada hari ini mulai sedar akan apa yang perlu menjadi keutamaan dalam berdepan dengan situasi ini.  

Nasihat saya kepada semua perantau tetaplah kekal di mana kediaman anda berada pada hari ini dan elakkan pulang ke kampung namun bagi yang baru tiba dari luar Kelantan dengan izin hendaklah menjalankan kuarantin kendiri terlebih dahulu selama dua minggu. Usah ulangi kesilapan yang lalu di mana terdapat kes yang berlaku di negeri Kelantan baru-baru ini adalah daripada kes import. Sekiranya mempunyai simpton, terus ke klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani saringan.

Bagi rakyat Kelantan, hendaklah mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat yang berisiko, sentiasa mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka, kerap cuci tangan, menjaga penjarakan sosial dan menghadkan pergerakan ke luar dari rumah. 

Pada saat berdepan situasi genting ini, peranan ketua keluarga amatlah penting dalam membuat perancangan yang baik dalam menguruskan keluarga masing-masing dalam berdepan wabak musim #COVID19 ini. Kita masih belum menang tapi harus ingat kita pernah menang dengan kes zero dicatatkan sebelum ini. 

Teruskan mengikuti perintah yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan terus berdoa. Moga negeri dan negara kita akan bebas daripada wabak COVID-19. Kepada Allah S.W.T kita berserah.

8 NOVEMBER 2020

YB. DR. IZANI HUSIN

EXCO KERAJAAN TEMPATAN, PERUMAHAN DAN KESIHATAN NEGERI KELANTAN


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)