KENYATAAN AKHBAR MENTERI KANAN PERTAHANAN MENGENAI PELAKSANAAN PKPP, 8 NOVEMBER 2020
Task Force Operasi Pematuhan
Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 53,389 pemeriksaan semalam (7 November 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sebanyak 2,458 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,015 anggota telah membuat pemantauan di 3,469 pasar raya, 4,982 restoran serta 1,591 penjaja, 1,227 kilang, 3,327 bank dan 528 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,076 terminal pengangkutan darat, 233 terminal pengangkutan air serta 80 terminal pengangkutan udara.
Semalam (7 November 2020), PDRM telah menahan 519 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 511 individu telah dikompaun, 4 direman dan 4 dijamin. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (206), tidak memakai pelitup muka (126), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (67), premis beroperasi lebih masa (23), aktiviti pusat hiburan (9), dan lain-lain (88).
Kawalan Sempadan Negara
Operasi BENTENG yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak COVID-19.
Semalam (7 November 2020), Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 6 PATI. Turut berjaya dirampas 3 buah kenderaan darat.
Sebanyak 298 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (157 SJR), ATM (132 SJR) dan AKSEM (9 SJR). Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.
Kuarantin Wajib
Sejak 24 Julai sehingga 7 November 2020, seramai 62,490 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 Hotel dan 20 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan. Daripada jumlah itu, seramai 9,315 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 384 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 52,791 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.
Mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman.
Operasi Sanitasi Awam COVID-19
Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 11,209 operasi sanitasi merangkumi 137 zon. Sebanyak 13,627 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,775 pusat perniagaan, 1,633 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,690 tempat awam, 354 pasar raya, dan 6,175 bangunan kerajaan.
Semalam (7 November 2020), sebanyak 21 operasi sanitasi telah dilaksanakan yang melibatkan 10 buah negeri iaitu Sabah (6 operasi), Sarawak (3 operasi), Pahang (3 operasi), Melaka (2 operasi), Selangor (1 operasi), Perak (1 operasi), Pulau Pinang (1operasi), Terengganu (1 operasi), Kedah (1 operasi), serta Wilayah Persekutuan Labuan (1 operasi) dan Putrajaya (1 operasi).
Operasi sanitasi ini melibatkan 127 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 84 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 12 jentera JBPM turut terlibat dalam operasi sanitasi.
Barang Keperluan Asas
Semalam (7 November 2020), Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 681 premis perniagaan termasuk peruncit (489), pemborong (165) dan pengilang (27). Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,382 pemeriksaan khas
Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,380 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 2 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.
Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian.
YB DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
MENTERI KANAN PERTAHANAN
8 November 2020