PROGRAM KAWALAN DENGGI MELALUI PROJEK WOLBACHIA DI KOTA BHARU - YB DR IZANI HUSIN


KOTA BHARU, - Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, YB Dr Izani Husin berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan menjalankan Program Kawalan Denggi melalui Projek Wolbachia di kawasan terpilih di Kota Bharu iaitu Pondok Terusan, Pasir Tumboh dan Kubur Maras, Kota Bharu. Projek ini adalah salah satu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengawal denggi.

Beliau dalam satu kenyataan menjelaskan, nyamuk Aedes berWolbachia merupakan nyamuk Aedes yang disuntik bakteria Wolbachia di mana bakteria ini juga terdapat secara alami pada serangga - serangga lain. Apabila nyamuk Aedes aegypti disuntik dengan bakteria ini, ia akan merencatkan keupayaan nyamuk Aedes tersebut daripada menyebarkan virus denggi. 



Nyamuk Aedes berWolbachia akan memindahkan bakteria Wolbachia kepada nyamuk Aedes liar semasa mengawan. Bakteria Wolbachia tersebut akan diwarisi kepada nyamuk Aedes generasi seterusnya apabila ia bertelur. Nyamuk Aedes berWolbachia ini selamat kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.

Walau bagaimanapun nyamuk Aedes berWolbachia hanya berkesan terhadap nyamuk Aedes aegypti yang kebiasaannya membiak di dalam rumah tetapi nyamuk ini tidak dapat memberi apa - apa kesan terhadap nyamuk Aedes albopictus yang membiak di luar rumah. Oleh itu, pentingnya pemusnahan tempat pembiakan di luar rumah secara berkala oleh penduduk setempat.

Beliau berkata, kaedah kawalan Aedes ini dilaksanakan susulan kejayaan kajian rintis di lapan (8) lokaliti di negeri Selangor yang menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 50 - 80% di setiap lokaliti. Selain itu, kaedah ini juga dilaksanakan bagi mengurangkan penggunaan racun serangga.

Kementerian Kesihatan Malaysia membelanjakan sebanyak RM120,000.00 atau RM 0.50 sen bagi seekor nyamuk Aedes berWolbachia di setiap lokaliti dalam usaha memperkukuhkan aktiviti kawalan denggi.

Pihak JKNK memohon kerjasama anda untuk tidak mengganggu atau mengalih bekas -bekas pembiakan nyamuk Aedes berWolbachia ini ATAU dikenali sebagai “Release Container (RC).”, tidak membuang air dari bekas - bekas RC ini dan tidak memasukkan bahan pembunuh jentik - jentik ke dalam bekas RC ini.

Katanya lagi, aktviti seperti community engagement, kawalan pra pelepasan, pelepasan telur nyamuk berWolbachia, ovitrap montoring dan data pemantauan frekuensi populasi nyamuk berWolbachia ini memerlukan komitmen semua pihak. Tanpa kerjasama semua, projek ini sukar untuk dilaksanakan, terima kasih diucapkan kepada tuan/ puan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Saya berharap agar penyakit demam denggi di negeri Kelantan adalah terkawal dengan kaedah kawalan menggunakan nyamuk Aedes berWolbachia ini.

- SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)