SUMBANGAN KOTAK MAKANAN TANDA KEPRIHATINAN KEPADA VETERAN ATM
SRI KEMBANGAN, - Majlis Penyerahan Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan telah berlangsung di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor, pada jumaat.
Majlis ini yang merupakan sebahagian dari Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM Tahun 2021 yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, turut dihadiri oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain.
Di dalam majlis ini, Panglima Angkatan Tentera yang mewakili Kementerian Pertahanan telah menerima sejumlah 10,000 kotak bekalan makanan, sumbangan daripada Tan Sri Lee Kim Yew, pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz.
Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM merupakan kesinambungan daripada Program “MINDEF PRIHATIN”, antara inisiatif Kementerian Pertahanan, bertujuan untuk membantu meringankan beban warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia termasuk golongan Veteran ATM serta keluarga mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Bantuan bekalan makanan menerusi Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM dijangka akan memberi manfaat kepada 10,000 Veteran dan balu yang terkesan dengan COVID-19.
Angkatan Tentera Malaysia merakamkan sekalung penghargaan buat pengurusan The Mines Resort and Country Heights Holdings yang telah menyumbang untuk menjayakan kempen ini.
SUMBER: ANGKATAN TENTERA MALAYSIA