KELANTAN SASAR 40 PERATUS PENDUDUK DIVAKSINASI AKHIR OGOS - MB

 


KUALA KRAI - Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato' Ahmad Yakob dalam satu sidang media sempena lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Guchil hari ini berkata, pada akhir Ogos ini penerima suntikan vaksin COVID-19 dalam kalangan rakyat Kelantan dijangka mencapai sasaran 40 peratus. 

Dalam majlis yang sama, Menteri Besar menyantuni orang ramai serta menyampaikan cenderahati kepada petugas serta sukarelawan MyVac ketika meninjau perkembangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Manik Urai dan PPV Guchil Kuala Krai. 


Beliau berkata, sejak PICK bermula pada akhir bulan Februari 2021 sehingga 31 Julai 2021, sebanyak 710,559 dos suntikan telah diberikan kepada rakyat Kelantan iaitu seramai 458,961 orang telah menerima dos 1 dan 251,598 orang telah menerima 2 dos lengkap vaksin Covid19. Peratus liputan dos 1 adalah 24.1% dan dos 2; 13.2%. 

Pihak CITF kebangsaan telah meletakkan sasaran Negeri Kelantan akan mencapai herd immunity iaitu 80% mereka berusia > 18 tahun selesai mendapat 2 dos lengkap pada Oktober 2021, untuk mempastikan suntikan vaksin selesai sebelum perubahan monsun timur laut yang akan membawa kepada kejadian banjir di Negeri Kelantan.

 Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pasukan barisan hadapan dan sukarelawan MyVac, Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Kelantan dan semua pihak yang menjayakan proses vaksinasi di Negeri Kelantan.

Beliau sekali lagi menyeru kepada semua rakyat Kelantan supaya mengambil tanggungjawab bersama serta mematuhi segala SOP yang ditetapkan Kerajaan dalam membendung pandemik COVID-19 di negeri Kelantan.

- SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)