SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA MENGHADAP KETUA PESURUHJAYA SPRM
SHAH ALAM, - DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Turut berangkat, DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Pada pertemuan selama 2 jam ini, Baginda diberi taklimat mengenai peningkatan yang tinggi membabitkan kes-kes rasuah khususnya di Negeri Selangor.
Baginda menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan terbaharu ini dan berharap agar SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti, supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.
Baginda juga menyeru agar perbicaraan kes-kes rasuah disegerakan dan mahkamah tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh, kerana rakyat juga sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes-kes rasuah yang berlarutan terlalu lama.
Baginda turut mensasarkan agar gejala rasuah di Negeri Selangor ini dapat dibanteras sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah yang lebih besar yang boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat.
SUMBER: Selangor Royal Office