54 PATI BERJAYA DICEKUP - ATM
BANDAR PENAWAR, – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) berjaya menyekat cubaan memasuki negara secara haram yang dilakukan secara besar-besaran apabila berjaya menangkap 54 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dalam OP BENTENG di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) pada awal pagi ini.
Tangkapan 54 orang PATI tersebut adalah hasil maklumat daripada anggota petugas pos pemerhati yang berjaya mengesan pergerakan bot dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar, Johor pada awal pagi tersebut.
Hasil maklumat tersebut, Tim Quick Reaction Force (QRF) dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) telah segera diaturgerakan ke kawasan tersebut bagi membuat penjejakan dan hasil bantuan daripada dron, mereka berjaya mengesan serta menangkap 54 orang PATI yang sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau - Sedili Kecil.
Kesemua 54 orang PATI yang ditahan tersebut terdiri daripada 42 orang lelaki dan 11 orang wanita serta seorang kanak kanak lelaki berusia yang diantara 5 hingga 52 tahun dipercayai baharu saja sahaja mendarat di pantai tersebut dan menunggu keadaan selamat untuk menyelinap masuk ke dalam negara.
Turut dirampas bersama-sama mereka adalah wang tunai matawang Indonesia IDR 43,520,760.00 (RM 12,770.30) dan 43 buah telefon bimbit yang dianggarkan jumlah keseluruhanya bernilai RM 23,108.30. Kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
ATM akan terus memperkasakan kawalan keselamatan di persempadanan perairan dan daratan negara serta akan terus meningkatkan kerjasama dengan Agensi-agensi keselamatan lain menerusi OP BENTENG bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Sumber: Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia