88 KES POSITIF COVID-19 BERKAITAN SIDANG KHAS PARLIMEN - KP KESIHATAN

 


PUTRAJAYA, - Seperti yang dilaporkan dalam Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan pada 6 Ogos 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memaklumkan terdapat keseluruhan 85 kes positif COVID-19 yang telah dikesan berkaitan dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang telah diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 iaitu dari kalangan individu yang hadir ke sidang dan juga kontak rapat kes positif.

Beliau berkata, ini termasuk 17 kes COVID-19 yang telah dikesan berkaitan persidangan Dewan Rakyat (terdiri daripada individu yang hadir ke sidang dan kontak rapat).

Terkini, sehingga 8 Ogos 2021 jam 6:45 petang KKM ingin memaklumkan terdapat penambahan tiga lagi kes baharu yang berkaitan dengan persidangan Dewan Rakyat tersebut. Ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat adalah 20 kes dan jumlah keseluruhan kes berkaitan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen sebagai 88 kes positif COVID-19 (disahkan dengan ujian RT-PCR).

Untuk makluman, tiga kes baharu tersebut telah dilaporkan pada 7 Ogos 2021 dan mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR di antara 19.15 sehingga 22.27 iaitu bermaksud kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

 Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) dan masih menunggu keputusan akhir. Kesemua mereka mempunyai gejala ringan dan sebelum ini telah pun mendapat vaksin lengkap. Hasil siasatan mendapati mereka juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan kuarantin kendiri setelah pulang dari sidang Parlimen supaya tidak menjangkiti ahli keluarga. Siasatan untuk mengenalpasti kontak rapat semasa persidangan diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah berkenaan.

Katanya lagi, semua individu yang hadir ke Parlimen dinasihati untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala jalani ujian saringan COVID-19 dan mendapatkan rawatan segera.

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)