LEBIH 60 PERATUS POPULASI DEWASA DIJANGKA TERIMA DOS LENGKAP VAKSIN MENJELANG 31 OGOS
KUALA LUMPUR, - YAB Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri, pagi tadi telah diberi taklimat oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV). Alhamdulillah, katanya proses vaksinasi berjalan mengikut jadual setakat ini.
Perdana Menteri berkata, menjelang 31 Ogos 2021, lebih 60 peratus penduduk dewasa atau lebih 40 peratus keseluruhan penduduk di negara kita dijangka telah menerima dos lengkap suntikan vaksin. Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Menjelang akhir bulan Oktober 2021, dijangkakan 100 peratus penduduk dewasa atau 80 peratus jumlah penduduk keseluruhan akan mendapat dos lengkap suntikan vaksin.
Beliau yakin sasaran ini akan dapat dicapai berdasarkan prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang memberangsangkan setakat ini.
Menurut data terkini yang tersedia baik di negara kita atau negara luar, jumlah kes-kes dalam kategori 4 dan 5 serta kadar kematian akan menurun dengan mendadak apabila kadar vaksinasi telah meningkat.
- SMNETNEWS