MASJID ASSALAM, PENGKALAN CHEPA BANTU ANAK MUKIM TERKESAN AKIBAT PANDEMIK COVID-19 - MAIK
PENGKALAN CHEPA, - Walaupun pandemik COVID-19 yang melanda negara menyebabkan banyak pihak terkesan, namun dari satu sisi lain, ada juga hikmahnya.
Antara yang ketara dapat dilihat adalah banyak agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, orang perseorangan dan institusi agama tampil ke hadapan, berlumba-lumba membantu mereka yang terkesan.
Bertindak atas rasa tanggungjawab bagi membantu golongan yang memerlukan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerusi Masjid Assalam, Pengkalan Chepa menyediakan bantuan keperluan kepada anak mukimnya yang terkesan.
Bagi anak mukim yang terputus bekalan makanan, tiada duit untuk membelinya, janganlah malu untuk tampil ke Pejabat Masjid Assalam di Pengkalan Chepa untuk mendapatkan barangan dapur.
Jangan biarkan ahli keluarga terutama anak-anak yang masih kecil kelaparan. Kami sediakan beras, minyak, gula, tepung gandum dan sebagainya dengan percuma.
Kami memahami kesukaran dan kesempitan hidup dilalui golongan kurang berkemampuan ketika mana pandemik COVID-19 masih mengganas. Ramai masih belum dapat bekerja lagi.
Bagi anak mukim terlibat yang memerlukan bekalan bolehlah mengunjungi pejabat Masjid Assalam dengan membawa kad pengenalan bermula dari jam 8.30 pagi hingga 1 tengahari.
Mereka, boleh hadir ke Pejabat Masjid Assalam dengan membawa salinan kad pengenalan pada hari Ahad hingga Khamis.
Semoga bantuan ini dapat menggembirakan mereka yang amat memerlukan dan menghilangkan kekusutan fikiran kumpulan terkesan.
Bagi anda yang mahu menjadi sebahagian daripada penyumbang dan turut membantu mereka yang memerlukan, ayuh bersama-sama menginfakkan harta menerusi MAIK meskipun serendah RM1.
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan yang disediakan oleh MAIK, orang ramai boleh melayari Portal Rasmi di www.e-maik.my