AGONG, RAJA PERMAISURI ZAHIR UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA PAT KE-7
KUALA LUMPUR, - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Jeneral Tan Sri Datuk Amar (Dr) Mohd Ghazali bin Dato’ Mohd Seth (Bersara), Mantan Panglima Angkatan Tentera ketujuh yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM dan juga negara.
Allahyarham yang dilahirkan pada 4 Februari 1929 di Johor Bahru, Johor pada awal penglibatan bersama ATM telah memulakan latihan Pegawai Kadet di Eaton Hall, England pada tahun 1952. Dari Eaton Hall, Allahyarham juga pernah terpilih untuk menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMA Sandhurst) sehingga tahun 1954.
Allahyarham memulakan perkhidmatan bersama ATM di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpengkalan di Alor Setar, Kedah. Sebagai Ketua Platun, Allahyarham pernah mengetuai operasi-operasi menentang pengganas komunis di Sungai Siput, Bidor dan Alor Setar.
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Tentera Malaysia (Military Attache) di Jakarta, Indonesia pada tahun 1958 dan merupakan Penasihat Tentera Malaysia yang termuda dan pertama ke Indonesia pada ketika itu.
Pada tahun 1977, Allahyarham pernah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat bagi tempoh lima tahun hingga tahun 1982, sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ketujuh dari tahun 1982 hingga 1985.
- SMNETNEWS