PM DAN PTD TINJAU TAHAP KESIAGAAN DAN KOMPETENSI FORMASI TEMPUR TDM
BERA, - Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob diiringi Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah mengadakan lawatan ke Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di kawasan Bera, Pahang pada hari ini.
Tujuan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 ini adalah untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi setiap Leading Para Battle Group (LPBG) dari 10 Briged (Para) (10 Bgd Para) yang diaturgerak bagi melaksanakan operasi di barisan belakang musuh.
10 Bgd (Para) yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka merupakan sebuah ketumbukan briged elit Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi yang turut dikenali sebagai Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).
Eksesais Para Predator 1/2021 ini turut dirangka bagi menilai tahap kepimpinan setiap lapisan pemerintahan, tahap kompetensi atau keupayaan setiap pasukan tempur di dalam briged ini, serta menguji ketahanan fizikal dan mental anggota briged ini untuk berhadapan dengan tekanan realisme yang tinggi sebagaimana situasi sebenar ketika perang dan krisis.
Pendekatan eksesais ini terarah kepada 3 objektif utama iaitu ‘To Train’ (the Troop), bagi memberikan pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan, ‘To Project’ (the Army), bagi memberikan gambaran kesiagaan dan keupayaan sebenar aturgerak TDM, ‘To Educate’ (To Create Public Awareness), bagi mendidik mahupun berkongsi pengetahuan serta menerapkan kesedaran umum mengenai peranan TDM dalam aspek keselamatan negara.
Dalam eksesais ini, ia turut membabitkan gerakan kemaraan anggota 10 Bgd (Para) yang disokong oleh pelbagai jenis aset tempur TDM seperti Kenderaan Tempur dari Kor Armor Diraja (KAD) dan juga Jambatan Tempur dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD). Keanggotaan yang terlibat dalam eksesais ini adalah kira-kira 2,000 orang yang terdiri daripada pelbagai elemen dari Markas 10 Bgd (Para), Kompeni Infantri Mekanis (Mek), Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), elemen tempur, bantuan tempur dan bantuan khidmat tempur 10 Bgd (Para). Aset-aset yang dimaksudkan adalah LOH, EC 725, ADNAN, GEMPITA, Pontoon, dan lain-lain aset TDM.
Justeru, latihan ketenteraan ini merupakan keperluan paling penting dan menjadi Teras Utama (Core Business) kepada TDM, semasa berada di dalam keadaan aman untuk mengekalkan tahap kesiagaan yang tinggi pada sebilang masa.
Eksesais ketenteraan sebegini akan terus dilaksanakan di masa hadapan, bagi mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi formasi tempur TDM, khususnya seperti ketumbukan 10 Bgd (Para).
Eksesais ini turut dilaksanakan seiring dengan Sambutan Kemerdekaan Ke-64 pada tahun ini dimana TDM akan terus komited dan memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara tercinta kita.
Turut hadir dalam lawatan eksesais ini adalah Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz.
SUMBER: Tentera Darat Malaysia