ISMAIL SABRI SELESAI ANGKAT SUMPAH SEBAGAI PM KE-9
KUALA LUMPUR, - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan, di Balai Singgahsana Kecil, di Istana Negara, pukul 2.30 petang tadi.
Naib Presiden UMNO itu mengangkat sumpah jawatannya menerusi Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak kebelakangan ini.
Majlis di Singgahsana Kecil Istana Negara turut menyaksikan Ismail Sabri, 61, yang juga Ahli Parlimen Bera melahirkan setia dan sumpah simpan rahsia di hadapan Agong.
Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Isteri Perdana Menteri, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin turut hadir.
Foto: Istana Negara
- SMNETNEWS