MARITIM KELANTAN TAHAN 17 KRU VIETNAM, GUNA BOT TEMPATAN TANPA LESEN


PASIR PUTEH, - Maritim Malaysia Negeri Kelantan telah menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Kelantan semasa melaksanakan operasi bersepadu Op Naga Barat dan Op Damai semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab. Rahman berkata, bot tersebut dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar kedudukan 48 batu nautika dari muara Tok Bali pada lebih kurang jam 10.29 pagi semalam.

Bot tersebut diarahkan berhenti untuk pemeriksaan dan mendapati, 17 kru termasuk tekong merupakan warga Vietnam yang berumur antara 20 hingga 55 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan yang sah.


Bot dan kesemua kru termasuk tekong ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah untuk menjalankan aktiviti perikanan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan ini, mahkamah juga boleh melucut hak bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan kepada kerajaan Malaysia.

Verifikasi awal status bot melalui data Jabatan Perikanan mendapati lesen bot tersebut telah tamat tempoh sejak tahun 2019 dan berstatus tidak aktif.

Nilai rampasan termasuk bot, ikan lebih kurang 300 kilogram, sotong kering lebih kurang 200 kilogram, bekalan diesel lebih kurang 4000 liter dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM 1 juta.

Sebarang maklumat boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-778 0070.

SUMBER: Maritim Malaysia 

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)