MAIK, JAHEAIK ADAKAN MAJLIS SAMBUTAN HIJRATUL RASUL 1443H SECARA MAYA
KUBANG KERIAN, - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerusi Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) secara maya telah mengadakan Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1442H dan Doa Awal Tahun 1443H serta Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1443H/2021M.
Bacaan doa awal tahun dan akhir tahun yang berlangsung secara maya dari Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian itu dibacakan oleh Yang Berhormat Sahibus Samahah, Dato' Mufti Negeri Kelantan, Dato' Haji Mohamad Shukri bin Mohamad.
Beliau turut mengimamkan solat sunat hajat bersama tiga jemaah lain termasuk Yang Berhormat Dato' Pengarah JAHEAIK, Dato' Haji Che Mohd Rahim bin Haji Jusoh malam tadi.
Sementara solat Maghrib dan Isyak telah diimamkan oleh Al-Fadhil Ustaz Hairul Azizi bin Mokhtar selaku Imam Tua Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian.
Perasmian secara maya telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Bentara Kanan, Ustaz Dato' Haji Ahmad Bin Yakob yang diadakan secara 'live streaming' menerusi facebook rasmi JAHEAIK.
Bacaan yasin pula dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Yahya bin Daud yang merupakan Qari Antarabangsa.
" Sama-sama kita doakan semoga ALLAH SWT memberikan kekuatan dan keupayaan untuk melakukan amal ibadat serta amal jariah dengan lebih baik pada tahun hijrah baharu ini. Amin Ya Rabbal Alamin ".