TIADA KEPERLUAN ADAKAN PRK DUN MELOR - SPR
PUTRAJAYA, - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman daripada YB Dato’ Haji Abdullah Bin Ya’kub, Speaker Dewan Negeri Kelantan melalui surat bertarikh 8 Ogos 2021, berhubung dengan status kekosongan luar jangka kerusi DUN N.23 Melor, Kelantan, ekoran penyandangnya YB Dr. Md Yusnan bin Yusof yang telah meninggal dunia pada 30 April 2021.
Berdasarkan Proklamasi Darurat 2021 (P.U.(A)7) yang berkuat kuasa pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 dan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 (PU(A)12), peruntukan Perlembagaan mana-mana Negeri berhubungan pilihan raya bagi pemilihan ke Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kesan sepanjang tempoh darurat.
Di bawah Perkara 46(5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongankerusi tersebut.
Seandainya kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa 2 (dua) tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal (3), maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya.
Sehubungan itu, YB Speaker Dewan Negeri Kelantan telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut. Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan dijalankan untuk mengisi kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN N.23 Melor.
- SMNETNEWS