‘RAPID RESUPPLY TEAM’, PASTIKAN BEKALAN OKSIGEN BERTERUSAN
SUNGAI BULOH, - Kumpulan Kedua di dalam pasukan ‘Greater Klang Valley Task Force’ (GKV TF) Tentera Darat Malaysia (TDM), dikenali sebagai ‘Rapid Resupply Team’, terus melaksanakan tugasan mereka di hospital yang terkesan dengan COVID-19.
Kumpulan yang turut dikenali sebagai RRT, ditempatkan di tujuh buah hospital, antaranya ialah di Hospital Sungai Buloh. Kumpulan ini yang bertugas bersama-sama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bertanggungjawab untuk melaksanakan proses penukaran tangki-tangki oksigen di wad-wad COVID-19.
Dalam melaksanakan tugasan di wad berisiko tinggi ini, anggota RRT turut mengenakan pakaian penuh ‘Personal Protective Equipment’ (PPE). Ini merupakan salah satu langkah mencegah jangkitan wabak COVID-19.
Kelancaran tugasan kumpulan RRT di bawah pasukan GKV TF ini, menggambarkan bahawa jalinan kerjasama telah terjalin erat di antara TDM dengan KKM, begitu juga agensi kerajaan yang lain.
Operasi GKV TF TDM ini bersama-sama jabatan kerajaan yang lain adalah sangat menepati Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu “Peningkatan Hubungan Tentera Darat dan Awam”. Tonggak ini menggariskan keperluan untuk peningkatan hubungan di antara TDM dengan rakyat bagi menjamin penerusan di dalam proses pembangunan negara.
Sumber: Tentera Darat Malaysia