PPV KOMPLEKS ISLAM JUBLI PERAK, PANJI MUDAHKAN VAKSINASI RAKYAT


KOTA BHARU, - Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra (KIJPSIP), Panji dijadikan sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak Jun lalu telah memudahkan rakyat di negeri ini untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Sekaligus mempercepatkan lagi proses bagi negeri Kelantan mencapai imuniti berkelompok dan dalam masa sama membawa banyak manfaat termasuk memberikan keyakinan kepada kerajaan untuk membuka lebih ruang aktiviti ekonomi. 

KIJPSIP yang dijadikan sebagai PPV itu, juga bertepatan hasrat pembinaan kompleks tersebut yang dibina di atas tanah wakaf seluas 11.969 ekar diwakafkan oleh al-Marhum Tengku Kaya Pahlawan pada 29 Safar 1340 Hijrah bagi 1/10 adalah untuk tujuan kebajikan.

Semalam, Yang Berhormat Mulia Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz bersama isteri, Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Hajjah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meluangkan masa meninjau  proses pemberian vaksin di PPV tersebut.

Beliau turut bertanyakan khabar dan memberikan kata-kata semangat kepada para frontliner  termasuk juga petugas sukarelawan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang bertungkus lumus menjalankan tugas di PPV berkenaan yang menerima 800 sehingga 1000 pengunjung setiap hari.

Turut mengiringi beliau, YABrs Timbalan Yang Dipertua MAIK, Haji Zulkifle bin Ab Rahman, YBhg Pengarah Kesihatan Negeri  Kelantan, Dato’ Dr Zaini bin Hussin dan YBrs Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani bin Ramli.

Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV)  sehingga 22 Ogos seramai 18,258,947 rakyat di negara ini sudah menerima suntikan pertama dan 13,022,246 mendapat suntikan kedua manakala di Kelantan pula 663,141 (dos pertama) serta 445,041 (suntikan kedua).

- SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)