JANGKITAN COVID-19 DALAM KALANGAN PETUGAS KESIHATAN

Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 dalam Kalangan Petugas Kesihatan dan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sehingga 18 Disember 2020, secara kumulatif terdapat 1,771 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan. 

Sebanyak 1,359 (76.7 peratus) kes-kes tersebut berlaku semasa gelombang ketiga pandemik COVID-19, termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.

Berikut adalah lima (5) kumpulan petugas kesihatan yang melaporkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi sejak bermulanya pandemik COVID-19 di negara kita:

   i. Jururawat - 690 kes 

  ii. Pegawai Perubatan - 211 kes 

 iii. Pembantu Perawatan Kesihatan - 146 kes

 iv. Pembantu Pegawai Perubatan - 144 kes

  v. Pegawai Perubatan Siswazah - 84 kes

Berdasarkan siasatan yang telah dilakukan:

• 587 (33.1%) petugas mendapat jangkitan dari komuniti;

• 565 (31.9%) berlaku di antara petugas-petugas kesihatan;

• 152 (8.6%) jangkitan berkaitan dengan pesakit-pesakit yang masih belum disahkan mendapat jangkitan COVID-19;

• 58 (3.3%) tidak diketahui punca, dan

• 409 (23.1%) lagi punca jangkitan masih dalam siasatan.

Pada 18 Disember 2020, seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh sebanyak 84.2%. Manakala seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (Home Surveillance Order – HSO) sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin.

Hospital-hospital di Lembah Klang yang melaporkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi adalah daripada Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (54 kes), Hospital Serdang (29 kes), Hospital Sungai Buloh (15 kes), Hospital Kuala Lumpur (10 kes), Hospital Ampang (5 kes) dan Hospital Selayang (4 kes). Peningkatan kes yang mendadak dalam kalangan petugas kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang adalah dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes dalam kalangan komuniti. Situasi seumpama ini, iaitu peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan pernah dialami oleh negeri Sabah ketika peningkatan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti berlaku di sana. Walau bagaimanapun, kes-kes di kesemua hospital yang terlibat masih dalam keadaan terkawal dan perkhidmatan kesihatan masih lagi diteruskan. 

 Situasi Semasa Jangkitan COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Serdang.

Susulan kepada kenyataan akhbar Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pada 17 Disember 2020 berkenaan jangkitan COVID-19 di HTAR, KKM ingin memaklumkan bahawa kesemua petugas-petugas dan pesakit tersebut sedang dirawat di wad dan berada dalam keadaan stabil. Pihak HTAR dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang giat bekerjasama dalam menyiasat punca jangkitan dan mengenalpasti kontak rapat kepada kes serta melakukan aktiviti-aktiviti saringan. Sehingga hari ini, terdapat seramai 72 petugas HTAR sedang menjalani perintah HSO. Operasi pembersihan dan disinfeksi persekitaran telah dilakukan di HTAR dan akan diteruskan secara berkala. Situasi semasa di HTAR ini adalah dalam keadaan yang terkawal dan perkhidmatan di hospital ini masih diteruskan seperti biasa.

Selain itu, KKM juga ingin mengesahkan terdapat jangkitan COVID-19 dalam kalangan pesakit dan petugas kesihatan di Hospital Serdang. Buat masa  ini ianya melibatkan 29 orang petugas perubatan dan 28 pesakit di mana kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya. Siasatan oleh pasukan JKNS dan Hospital Serdang telah dapat mengenalpasti punca jangkitan dan tindakan kawalan telah dilaksanakan serta merta bagi membendung penularan jangkitan ini. Pengurusan rawatan pesakit di Hospital Serdang masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)