KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA, 16 DISEMBER 2020
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,052 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 72,733 kes (82.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Pada hari ini, 16 Disember 2020, negara kita telah merekodkan kes harian baharu sebanyak 1,295 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 87,913 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 14,751 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,285 kes.
Negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 481 kes (37.1 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 356 kes (74.0 peratus) adalah dari kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh negeri Sabah yang melaporkan sebanyak 268 kes (20.7 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 232 kes (17.9 peratus).
Sebanyak 57 kes (4.4 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (26 kes), Kluster Tembok (22 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (8 kes) dan Kluster Bakti (1 kes).
Perincian 1,295 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan di Malaysia pada 16 Disember 2020 adalah seperti berikut:
- Selangor: 481 kes
- 277 kes daripada kluster-kluster, termasuk empat (4) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Puncak Galaksi;
- 79 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
- Empat (4) kes import dari luar negara; dan
- 121 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Sabah: 268 kes
- 57 kes daripada kluster-kluster, termasuk lima (5) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bukit Punai.
- 105 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
- 106 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 232 kes
- 182 kes daripada kluster-kluster, termasuk 54 kes daripada kluster-kluster baharu iaitu Kluster Tapak Bina Permai, Kluster Tapak Bina Matahari dan Kluster Tapak Bina Laut;
- 23 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
- Empat (4) kes import dari luar negara; dan
- 23 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Johor: 105 kes
- 67 kes daripada kluster-kluster, termasuk enam (6) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Cahaya Mahsuri;
- 22 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
- Satu (1) kes import dari luar negara; dan
- 15 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Pulau Pinang: 69 kes
- 51 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
- 13 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
- Lima (5) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Negeri Sembilan: 60 kes
- 53 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
- Dua (2) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
- Lima (5) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Perak: 35 kes
- 26 kes daripada kluster-kluster, termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Seri Tasik;
- Empat (4) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
- Lima (5) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Melaka: 14 kes
- 13 kes daripada kluster sedia ada; dan
- Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19.
- Pahang: 13 kes
- Lapan (8) kes daripada kluster-kluster, termasuk empat (4) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Inten;
- Dua (2) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
- Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Kedah: Sembilan (9) kes
- Lima (5) kes daripada kluster sedia ada;
- Dua (2) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
- Dua (2) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Wilayah Persekutuan Putrajaya: Empat (4) kes
- Dua (2) kes daripada kluster sedia ada;
- Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
- Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Wilayah Persekutuan Labuan: Tiga (3) kes
- Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
- Satu (1) kes import dari luar negara; dan
- Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Kelantan: Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
- Terengganu: Satu (1) kes daripada kluster sedia ada.
Sehingga kini, terdapat 113 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.