AGONG ZAHIR DUKACITA BATAL DARURAT TANPA PERKENAN BAGINDA
KUALA LUMPUR, - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.
Istana Negara menerusi kenyataan berkata Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.
Baginda juga menegaskan kenyataan menteri di Parlimen pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita apa yang diperkenankan dan dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.
“Baginda turut menegaskan permohonan pembatalan semua Ordinat Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghomati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negera malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Seri Paduka Baginda sedia maklum ada perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan.
Namun, katanya, Seri Paduka menzahirkan pandangan baginda mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Baginda menegaskan ahli-ahli parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik Covid-19 ini.
Pada 26 Julai, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pelanjutan darurat yang dijadual tamat pada 1 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa.
- SMNETNEWS