PROJEK FASA 1 PEMBANGUNAN SEMULA KAMPUNG LAUT SIAP
KOTA BHARU, - Projek Pembangunan Semula Kampung Laut Fasa 1, yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding Kampung Laut akan diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) pada bulan September tahun ini. Kompleks ini dijangka beroperasi pada Oktober 2021 dengan 11 usahawan serunding tempatan, di mana produk mereka cukup sinonim dengan sejarah Kampung Laut.
“Pembangunan Kampung Laut bakal menjadikan lokasi ini sebuah pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘wajib dikunjungi’ di Kelantan.
Kompleks ini, yang menyediakan ruang niaga bagi peniaga serunding tempatan akan meningkatkan aktiviti pelancongan di Kampung Laut dan sekaligus memberikan kesan limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan.
Dengan siapnya Laman Warisan Kampung Laut, serunding Kampung Laut yang terkenal kini mempunyai alamat yang tersendiri,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat ICC Kelantan, yang dijalankan secara maya.
Sementara itu, Fasa 2 projek pembangunan semula Kampung Laut yang merangkumi Laman Warisan Seni Kampung Laut dijangka siap pada awal tahun depan. Kompleks ini akan meraikan seni dan budaya tempatan Kelantan dan menyediakan ruang bagi para pengusaha tempatan untuk memaparkan karya mereka.
Pembangunan sebegini juga akan membantu memacu pertumbuhan sosioekonomi di kawasan-kawasan sekitar.
Di samping itu, Fasa 2 juga akan menyaksikan penyiapan projek penempatan semula dan kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun. ECERDC dan Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil inisiatif untuk mengembalikan masjid tersebut ke tapak asalnya dalam usaha mengekalkan ciri-ciri seni bina, sejarah, budaya dan sosial yang terdapat di tapak asal masjid tersebut di Kampung Laut.