3.5 JUTA POPULASI DEWASA DI SELANGOR DAN KL TELAH TERIMA SEKURANG-KURANGNYA SATU DOS VAKSIN

KUALA LUMPUR,  Semalam YB Khairy dan YB DS Dr Adham mengumumkan pelaksanaan “Operation Surge Capacity” untuk KL dan Selangor. Semua 6.1 juta populasi dewasa di KL dan Selangor akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 menjelang 1 Ogos 2021.

Ini melibatkan pemberian vaksin pada kadar 1.3 juta dos sehingga 25 Julai 2021 dan 1.3 juta dos lagi antara 26 Julai hingga 1 Ogos 2021.

Sehingga kini, 3.5 juta populasi dewasa di Selangor dan KL telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Ini adalah tindakan segera kerajaan untuk menangani kenaikan kes-kes positif secara mendadak di Selangor dan KL.

Data-data menunjukkan kes-kes COVID-19 yang serius mencatat penurunan yang ketara dengan pemberian vaksin.

Contohnya, dalam kalangan kumpulan warga emas (60 tahun ke atas), trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori 4 dan 5 telah mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan yang lepas. Kumpulan warga emas adalah fasa 2 dalam pemberian vaksin COVID-19 dan kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat.

Begitu juga bagi petugas KKM di mana mereka telah menerima vaksin COVID-19 lebih awal lagi. Didapati hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti COVID-19 selepas lengkap divaksinasi. Sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada yang mengalami COVID-19 kategori 5.

Satu lagi contoh ialah Labuan, iaitu tempat di mana varian delta mula dikesan di negara kita. Kerajaan telah mengambil tindakan segera dengan menambah bekalan vaksin untuk Labuan. 

Hasilnya, jumlah kes positif dan kes kematian akibat COVID-19 di Labuan telah dapat dikurangkan dengan peningkatan kadar vaksinasi.

Selain itu, penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bahawa lebih 90 peratus kes positif COVID-19 di negara kita adalah dalam kategori satu dan dua agak melegakan kita.

Ini bermakna, kebanyakannya adalah tidak bergejala atau bergejala ringan yang mampu untuk pulih semula. 

Walau bagaimanapun, saya telah mengarahkan KKM supaya lebih bersedia untuk menerima kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan memberikan rawatan yang terbaik. Ini memandangkan dunia sedang mencatatkan trend kenaikan kes-kes COVID-19 dengan kemunculan varian-varian baharu yang lebih ganas.

Kita semua sedang berusaha untuk melawan COVID-19. Kita mesti sentiasa tabah dan cekal untuk terus lawan dan lawan. Insya-Allah, kita akan menang akhirnya.

- SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)