POLIS TRAFIK BANTU PENGAYUH BECA DALAM OP BANTU


KUALA TERENGGANU, - Polis Kontinjen Terengganu telah berjaya menghimpunkan seramai 20 orang pengayuh beca sekitar bandaraya Kuala Terengganu pada pagi ini dan menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan dapur kepada mereka.

Sumbangan ini disampaikan oleh DCP Dato' Rohaimi Md Isa, Ketua Polis Terengganu dan sumbangan ini datangnya daripada pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, yang mana dikumpul dari elaun Covid-19 yang diterima oleh mereka.



Dato' Rohaimi berkata, golongan pengayuh beca merupakan antara golongan yang terkesan teruk oleh pandemik Covid-19, kerana aktiviti pelancongan yang menjadi sumber pendapatan mereka tidak dapat dijalankan pada musim ini.

Pihak JSPT yang tanpa jemu menjalankan rondaan lalulintas jalan raya sering melihat keberadaan golongan pengayuh beca yang rata-rata terdiri dari golongan warga emas, dan rasa terpanggil untuk membantu mereka.

"Ini merupakan satu sikap yang terpuji. Mereka sanggup mengorbankan elaun yang mereka terima untuk disumbangkan kepada warga pengayuh beca. Saya berasa bangga dengan semangat dan sikap yang ada pada pegawai dan anggota saya. Moga ianya menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai untuk turut mengambil bahagian, cakna kepada kesusahan orang di sekeliling kita," tambah beliau.


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)