MANGSA RIBUT DI KELANTAN DAPAT BANTUAN SEGERA

 


PANCHOR - Sebanyak 863 buah rumah mengalami kerosakan akibat ribut selama empat hari menjelang Aidil Adha minggu lalu di beberapa daerah di Kelantan.

Kawasan paling teruk mengalami kerosakan ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama, diikuti Panchor, Jelawat, Tawang, Semerak, Limbongan, Pasir Tumboh, Kok Lanas, Kadok dan Pulai Chondong.

Sebaik sahaja mendapat berita, pimpinan negeri bergegas turun padang menyantuni mangsa dengan memberi bantuan segera berbentuk wang tunai dan bagi keluarga yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk dibaikpulih secara bersepadu.

Dalam kawasan DUN Panchor, 82 buah rumah terjejas dan 12 daripadanya mengalami kerosakan teruk khususnya di kawasan Taman Perumahan Kemumin.

ADUN Panchor, YB Dato' Mohd Amar Abdullah turut turun menyampaikan bantuan segera berupa sumbangan wang tunai.

Dato' Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, ujian kepada rumah yang terlibat ini juga adalah ujian kepada kita semua.

"Ujian kepada jiran yang bernasib baik untuk sama-sama membantu. Ujian kepada kami untuk memastikan nasib rakyat terbela.

Semua kita ada peranan. Allah SWT datangkan ujian satu persatu, untuk meningkatkan keimanan kita kepadaNya", katanya.

Di samping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut agihkan bantuan bakul makanan dan keperluan asas kepada mangsa.

Antara agensi lain yang turut menyumbang bantuan segera ialah Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan badan-badan NGO.


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)