507,050 DOS VAKSINASI HARIAN YANG TERTINGGI SETAKAT INI - PM
PUTRAJAYA, - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejak 12 Julai 2021, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari.
Alhamdulillah semalam katanya, kita telah berjaya mencapai kadar vaksinasi harian tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 507,050 dos. Ini menjadikan jumlah individu yang telah menerima dos pertama sehingga semalam ialah 10,920,862 dan sejumlah 5,104,054 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Sukacita beliau juga ingin mengumumkan bahawa seramai 46.7% daripada populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan seramai 21.8% pula telah mendapat dos yang penuh.
Pencapaian ini selari dengan sasaran yang ditetapkan dan sudah semestinya perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap berjaya dicapai.
Katanya lagi dengan vaksinasi, kita akan dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan mengurangkan kes-kes jangkitan yang teruk, seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara, insya-Allah.
Beliau juga berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, terutamanya kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan PPV yang membantu melancarkan pelaksanaan program ini.
- SMNETNEWS