KELANTAN YAKIN PROGRAM OUTREACH VAKSINASI MEMPERCEPATKAN SASARAN IMUNITI BERKELOMPOK
TUMPAT, - YAB Dato' Ahmad Yakub, Menteri Besar Kelantan, hari ini melawat pusat pemberian vaksin bagi Program Outreach Vaksinasi COVID-19 Dun Pasir Pekan bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Pasir Pekan, Tumpat.
Turut mengiringi Menteri Besar Kelantan dalam tinjauan tersebut adalah Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Adun Wakaf Bharu, YB Hj Mohd Rosli Abdullah serta Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato' Dr Zaini Hussin.
Menteri Besar Kelantan menyatakan keyakinan bahawa Program Outreach Vaksinasi ini akan dapat mencapai sasaran imuniti berkelompok dalam masa terdekat.
Beliau berkata, Program Outreach Vaksinasi di SMKA Falahiah, Pasir Pekan pagi ini mensasarkan vaksinasi seramai 800 penduduk setempat selama empat hari dengan keutamaan diberikan kepada golongan warga emas.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan terus memperhebat program vaksinasi di Kelantan dengan sasar mencapai imuniti berkelompok menjelang Oktober 2021. Beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai dengan kerjasama dan sokongan penuh daripada penduduk Kelantan.
Menteri Besar Kelantan juga berterima kasih kepada semua doktor, petugas kesihatan dan sukarelawan yang bertugas.
- SMNETNEWS