HENTIKAN BERPOLITIK, FOKUS USAHA TANGANI PANDEMIK COVID-19 - TPM

KUALA LUMPUR, - YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Perdana Menteri bersama YB Datuk Seri Rina Harun, Menteri Wanita dan Keluarga, melakukan tinjauan dan pemantauan perkhidmatan kebajikan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) PPR Kerinchi yang berkuatkuasa dari 3 hingga 16 Julai 2021. 

Keprihatinan YAB Timbalan Perdana Menteri kepada rakyat dalam menempuh kemelut pandemik COVID-19 ini tidak perlu dipersoalkan lagi sejak beliau memimpin Kluster Keselamatan sebelum ini. Meskipun pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri baru sahaja berkuatkuasa pada 7 Julai 2021, namun semangat beliau untuk meninjau kebajikan rakyat yang terkesan dengan COVID-19 dan keperluan para petugas barisan hadapan di lapangan amatlah tinggi. Untuk makluman, tinjauan pagi ini merupakan program turun padang pertama beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, sesungguhnya fokus Kerajaan Perikatan Nasional tetap tertumpu kepada strategi dan usaha memerangi COVID-19 serta membantu rakyat yang dalam kesusahan. Perbezaan parti bukanlah persoalan ketika ini, kerana solidariti dan kesepaduan usaha setiap pihak adalah kunci kejayaan untuk memenangi peperangan melawan pandemik ini dan segala provokasi politik perlulah dihentikan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan tidak akan membiarkan rakyat berlapar dan terputus bekalan makanan dalam mengharungi PKPD ini. Di PKPD PPR Kerinchi, sebanyak 2000 bakul makanan telah diagihkan kepada 1,732 Ketua Isi Rumah (KIR) yang memanfaatkan 6,890 prang penduduk. Kerajaan faham akan sesetengah keluarga yang memerlukan bekalan bakul makanan tambahan berikutan isi rumah yang ramai. Atas keprihatinan ini, sebanyak 500 bakul makanan tambahan disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM turut menyelaraskan agihan barangan keperluan asas yang disumbangkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pelbagai penyumbang lain. Sumbangan-sumbangan ini merupakan “value added” kepada Bakul Makanan yang telah diagihkan. JKM turut menyediakan keperluan khas lain seperti pampers, susu bayi, ubat-ubatan dan barangan lain bagi mereka yang memerlukan. 

Katanya lagi, disamping menghubungi Bilik Gerakan JKM yang beroperasi 24 jam, rakyat yang memerlukan bekalan makanan boleh menghubungi Pusat Khidmat Ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Pembangkang yang masing-masing telah diperuntukan RM300 ribu untuk menyediakan bakul makanan. Rakyat yang terjejas juga dialu-alukan menghubungi Pusat Zakat serta mendapatkan bekalan dari masjid-masjid yang berhampiran yang ada menyediakan Gerobok Rezeki. Tidak cukup dengan itu, menerusi Program Kasih Prihatin,

 Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta melibatkan sumbangan RM100 seorang kepada kira-kira 300,000 rakyat yang mula diagihkan bulan ini hingga September nanti. Semua inisiatif di atas membuktikan komitmen Kerajaan yang tidak sesekali membiarkan rakyat bersendirian mendepani cabaran pandemik ini.

Kepada penduduk yang terkesan dengan PKPD, saya berharap agar kita semua sentiasa memuhasabahkan diri serta meningkatkan kesabaran. COVID-19 bukanlah masalah di Malaysia sahaja, malah ia adalah kemelut yang sedang melanda dunia. 

 Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan, para NGO, syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan yang sama-sama berganding bahu memainkan peranan dalam urusan kebajikan rakyat. - SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)