TENTERA DARAT BERI PENEKANAN KEPERLUAN KEBAJIKAN WARGA

KUALA LUMPUR, - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain menyempurnakan penyerahan cek sumbangan ihsan Tabung Kebajikan Tentera Darat kepada Staf Sarjan John bin Somudin, anggota Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) yang ditimpa musibah apabila kediaman beliau telah hangus terbakar. Penyerahan sumbangan tersebut telah diadakan di Ruang Legar Pejabat PTD. 

Staf Sarjan John bin Somudin yang berkhidmat di 75 Woksyop Divisyen (75 Wksp Div), Kem Lok Kawi ditimpa musibah apabila kediamannya telah hangus terbakar pada 1 Jun 2021 disyaki berpunca dari litar pintas. Kebakaran tersebut juga telah melibatkan dua buah rumah yang lain iaitu rumah mertua dan kakak ipar beliau.

Selepas dari insiden berkenaan, Staf Sarjan John bin Samudin bersama ahli keluarga yang terlibat kini ditempatkan di Dewan Masyarakat Kampung Balabakan. Pihak pasukan 75 Wksp Div juga telah memberi bantuan sebagai langkah inisiatif dengan menyediakan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Penampang dan Kem Lok Kawi sekiranya Staf Sarjan John bin Samudin memerlukan tempat tinggal sementara.

Tentera Darat Malaysia sentiasa memberi keutamaan dan penekanan kepada keperluan kebajikan demi kesejahteraan warga dan keluarga. Penyerahan cek sumbangan ihsan dari Tabung Kebajikan Tentera Darat adalah bagi meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh Staf Sarjan John bin Samudin.

Program kebajikan sebegini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa, bersesuaian dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD iaitu "Pelestarian Kesejahteraan Warga". Tonggak ini menumpukan kepada aspek kebajikan warga TDM.

SUMBER: TDM

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)