KKM BERSAMA-SAMA DALAM SATU PASUKAN LAKSANAKAN TUGAS BERI PERKHIDMATAN TERBAIK KEPADA RAKYAT - DR ADHAM
PUTRAJAYA, - Dalam sidang media khas semalam di Putrajaya, YB Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr. Adham Baba menyatakan beliau dan semua pengurusan tertinggi di Kementerian Kesihatan berkerjasama sebagai satu pasukan dalam memikul tanggungjawab dalam memerangi pandemik COVID-19 dan dalam masa yang sama memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.
Sidang media khas Kementerian Kesihatan diadakan secara mingguan bagi mengemaskini situasi semasa pandemik COVID-19 dan vaksinasi di seluruh negara, situasi kes harian serta perkembangan situasi COVID-19 di Lembah Klang di bawah Pasukan Petugas Khas Lembah Klang. Sidang media ini diadakan secara bersama oleh pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan.
“Pada petang ini, kita bersama-sama dalam satu pasukan yang telah pun melaksanakan tanggungjawab dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan pandemik COVID-19 di negara kita.
Dari hari ke hari, kita dapati bahawa semua strategi dan juga pendekatan yang kita laksanakan adalah tertumpu kepada memberikan perkhidmatan yang terbaik dan juga melaksanakan semua yang perlu untuk memastikan bahawa kedudukan kita dalam memerangi pandemik COVID-19 ini dapat mencapai kejayaan dan juga berterusan dapat menjayakan kehidupan pada masa depan.” kata YB Menteri Kesihatan.
Sidang media itu turut sama disertai oleh YBhg. Dato’ Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) merangkap Komander Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) dan Dato' Indera Dr. Sha'ari bin Ngadiman Pengarah Kesihatan Negeri Pahang.
Turut dimaklumkan adalah mengenai kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, PICK yang sudah pun melepasi angka setengah juta dos dalam sehari.
“Pada semalam, kita telah berjaya sebenarnya memberikan vaksinasi kepada penduduk negara kita sebanyak 507,050 iaitu satu jumlah pemberian vaksinasi yang tertinggi pernah kita capai dan keseluruhan vaksin yang telah diberikan kepada penduduk negara kita adalah sejumlah 16,024,916 dan mengikut peratusan penduduk negara kita yang dewasa, mereka yang telah mendapat mencapai peratusan 2 dos ialah 21.8 peratus manakala penduduk negara yang telah pun divaksin sebanyak 1 dos adalah sebanyak 46.7 peratus.
Ini merupakan satu kejayaan yang cepat dan pantas dalam memberi perlindungan dari segi vaksinasi. Untuk Selangor dan Wilayah Persekutuan atau Greater Klang Valley, semalam kita telah dapat memberi suntikan sebanyak 223,440 yang mana sejumlah 23.8 peratus penduduk di Klang Valley telah mendapat dua dos bagi penduduk negara kita, manakala satu dos untuk Klang Valley kita telah berjaya menyuntik 71.9 peratus setakat ini.” menurut Dato’ Sri Dr Adham Baba dalam sidang media semalam.
- SMNETNEWS