MARITIM MALAYSIA TENGGELAMKAN 4 BOT VIETNAM


 KUALA TERENGGANU, - Maritim Malaysia Negeri Terengganu melupuskan empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Redang.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Datuk Saiful Lizan berkata, bot-bot ini telah ditahan melalui OP KUDA LAUT yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh KM TOK BALI, KM TEGAS dan KM GEMIA yang melibatkan 53 kru termasuk tekong.


Kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2020 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Pelupusan empat bot ini sebagai tukun tiruan merupakan tindakan tegas Maritim Malaysia memerangi pencerobohan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam.

Jumlah denda mahkamah bagi keempat-empat bot ini membabitkan denda keseluruhan RM4.1 juta.

Ini merupakan pelupusan kali ke-13 dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 38 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini.

Sehingga kini, sejumlah 108 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran nilai RM162 juta.

Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan negara.

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)