SEKRETARIAT GUAMAN KANUN KECAM INTIMIDASI KE ATAS PESERTA HARTAL DOKTOR KONTRAK
KUALA LUMPUR, - Sekretariat Guaman KANUN dalam satu kenyataan media semalam, mengecam sekeras-kerasnya apa-apa bentuk intimidasi yang dikenakan ke atas peserta dan penganjur Hartal Doktor Kontrak.
Sekretariat Guaman KANUN mendapati bahawa perhimpunan Hartal tersebut telah berjalan secara aman dan memberi ruang kepada peserta untuk menyuarakan suara mereka untuk menuntut hak yang sewajarnya.
Pelbagai media telah melaporkan bahawa terdapat ugutan dan amaran daripada pihak berkuasa untuk menghalang para peserta daripada berhimpun. Malah di beberapa tempat peserta telah diarahkan untuk menghentikan himpunan dan diminta untuk bersurai. Lebih mengecewakan adalah apabila kini terdapat perkembangan bahawa peserta Hartal akan disiasat dan dipersoalkan.
Sekretariat Guaman KANUN berharap agar perkara ini dihentikan dan hak para doktor untuk berhimpun dihormati.
Sekretariat Guaman KANUN suka untuk mengingatkan bahawa Sekretariat Guaman KANUN bersedia untuk memberikan bantuan guaman kepada mana-mana peserta yang menerima intimidasi atau dipanggil oleh pihak berkuasa untuk siasatan. Sekretariat Guaman KANUN boleh dihubungi di hotline kami di 0136680072.
- SMNETNEWS