RM500 JUTA BAYARAN GKP 3.0 KEPADA 1 JUTA PKS MIKRO DISALURKAN MULAI 12 JULAI 2021

 PUTRAJAYA, - Kerajaan telah memberi komitmen untuk menyokong perniagaan secara berterusan, terutamanya bagi PKS mikro dalam membantu aliran tunai mereka semasa tempoh yang masih mencabar ini. Sehubungan itu, salah satu langkah pada tahun ini adalah Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 sebanyak RM1.5 bilion atau RM1,500 kepada setiap PKS mikro yang layak.

Dari jumlah ini, RM1 bilion atau RM1,000 bagi setiap PKS mikro telahpun dikreditkan ke dalam akaun penerima pada pertengahan Jun 2021. Seterusnya, jumlah tambahan sebanyak RM500, yang telah diumumkan melalui Pakej PEMERKASA+, akan dibayar mulai 12 Julai 2021 (Isnin) secara berperingkat. Pembayaran yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM500 juta ini akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan di dalam sistem GKP.

Seterusnya, di bawah Pakej PEMULIH yang diumumkan pada 28 Jun 2021, bayaran tambahan GKP 4.0 akan disalurkan kepada penerima GKP sedia dan penerima baharu pada bulan September 2021 dan November 2021, masing-masing sebanyak RM500. Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai 2021.

Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion. Kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada ketika ini.

Selain dari GKP, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing. Ini termasuklah dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, MARA, SME Corp, YAPEIM dan TEKUN.

Peruntukan dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia berjumlah RM8.6 bilion. Jumlah ini termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Pakej PEMERKASA+ dan RM2 bilion lagi menerusi Pakej PEMULIH.

Maklumat lanjut mengenai dana-dana ini serta bantuan-bantuan Kerajaan yang lain boleh didapati di belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat.

Tambahan GKP 4.0, ketersediaan dana-dana pinjaman mudah dan bantuan-bantuan lain bertujuan untuk menampung keperluan pembiayaan PKS dan PKS mikro bagi menyokong perkembangan masing-masing selaras dengan pemulihan ekonomi yang digariskan melalui Pelan Pemulihan Negara. Ini membuktikan kesungguhan dan usaha berterusan Kerajaan dalam membantu perniagaan untuk kekal bertahan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

- SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)