PDRM SIASAT ISU PENJUALAN SLOT JANJI TEMU VAKSINASI - KHAIRY JAMALUDDINI
KUALA LUMPUR, - YB Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), memaklumkan bahawa beberapa tindakan telah dan akan terus diambil oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk membendung isu penjualan slot janji temu vaksinasi ini daripada terus berlaku.
Antaranya, CITF telah bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat tentang perkara ini seawal Jun lagi dan sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan kepada orang awam oleh pihak PDRM.
Sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan juga telah ditubuhkan di bawah CITF yang dianggotai oleh wakil daripada CITF, PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia. Selain itu, satu Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan “Standby List” telah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.
Selain daripada memperkemaskan lagi pemantauan di PPV melalui Garis Panduan ini, keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin.
Tentang kehadiran Pesakit covid-19 di PPV, beliau dimaklumkan beberapa langkah segera yang diambil oleh PPV apabila menerima laporan kehadiran individu positif COVID-19 seperti menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit tersebut dan melaksanakan ujian COVID-19 ke atas para petugas.
Beliau juga telah mengarahkan setiap PPV untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk PPV agar tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk.
Pada masa yang sama, beliau ingin mengingatkan orang ramai yang telah melakukan ujian COVID-19 untuk bertanggungjawab dan TIDAK hadir di PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing.
Orang ramai diseru untuk mengamalkan semua SOP yang telah ditetapkan, terutamanya memastikan penjarakan fizikal di PPV yang mana amat penting dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.
Katanya lagi, tentang suntikan vaksin yang telah melepasi tarikh luput, siasatan awal telah dijalankan mengenainya dan perkara tersebut adalah tidak benar. Secara ringkasnya, tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di MySejahtera individu tersebut sebenarnya merupakan tarikh luput vaksin yang telah diberikan untuk dos pertama. Fakta ini disokong oleh beberapa dokumen yang telah diperiksa. Kesilapan merekodkan data telah menyebabkan perkara ini berlaku dan tarikh luput vaksin yang sebenar akan dikemas kini ke dalam MySejahtera bagi individu yang terlibat.
- SMNETNEWS