NUKILAN - SINAR HARAPAN DI BAWAH PELAN PEMULIHAN NEGARA⠀⠀

Sudah menjangkau lebih setahun, Malaysia, dan seluruh dunia bertarung menghadapi penularan jangkitan wabak Covid-19. Apa yang pasti, pandemik ini merisaukan semua, terutamanya kerajaan Malaysia. Pelbagai tanggapan dan penilaian negatif dilemparkan sewenang-wenangnya kepada pengurusan Kerajaan dalam menangani isu ini.⠀⠀

Ada yang mengatakan Malaysia dalam situasi terancam dan gagal. Benarkah tuduhan ini? Baiklah, kalau kita tengok daripada aspek vaksinasi, Malaysia sudah mencapai secara konsisten kadar vaksinasi melepasi 300,000 dos sehari. Dengan kadar vaksinasi sedia ada, Malaysia merupakan 10 negara tertinggi di dunia kadar vaksinasi hariannya. Dalam bulan ini sahaja, Malaysia bakal menerima sehingga 14 juta dos vaksin, membolehkan kadar vaksinasi terus ditingkatkan sehingga 400,000 dos sehari. Kerajaan akan berusaha memastikan kadar vaksinasi terus ditingkatkan bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.⠀⠀⠀

Bukan mudah untuk menangani cabaran pandemik COVID-19, terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baru seperti varian Delta Plus. Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menyaksikan peningkatan kes. Menurut WHO, dalam 7 hari kebelakangan ini, berlaku peningkatan kes sebanyak 33% di seluruh Eropah, 16.7% di Afrika, 16.4% di timur Mediterranean, 10% di barat Pasifik dan 8.6% di Asia Tenggara.⠀⠀

Oleh itu, strategi yang lebih agresif merangkumi lockdown di kawasan terjejas dan peningkatan ujian besar-besaran secara bersasar seperti di Selangor dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur telah dilaksanakan. Kapasiti ICU juga ditingkatkan dengan kerjasama hospital swasta, sementara lebih banyak hospital awam, pengajar dan tentera telah diklasifikasikan sebagai hospital COVID. Ini adalah strategi yang bersasar untuk mengoptimumkan sumber berdasarkan fakta dan data.⠀⠀

Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan blueprint bagi kita beralih secara beransur-ansur dari satu fasa ke satu fasa, merupakan pelan yang dinamik dan akan sentiasa ditambah baik berdasarkan keperluan semasa. Dalam menghadapi cabaran COVID-19 yang sentiasa berubah, kita perlu sentiasa tangkas dan bersedia untuk meminda perancangan berdasarkan situasi semasa, dengan mendengar nasihat pakar dalam bidang masing-masing. Tiada penyelesaian mudah atau sempurna untuk kita keluar daripada belenggu ini, namun Kerajaan akan berusaha sebaik mungkin demi kesejahteraan semua.⠀⠀⠀

Faktanya jelas: walaupun dibebani hutang warisan dan isu struktur sosio-ekonomi, serta ketidakpastian politik, RM38 bilion telah disalurkan dalam bentuk bantuan langsung dan subsidi pada tahun 2020, sementara RM45 bilion telah diperuntukkan untuk tahun 2021, dengan baki RM28 bilion untuk dibelanjakan sehingga penghujung 2021.⠀⠀⠀

Di waktu yang sukar ini, setiap hari, setiap bulan, rakyat memikirkan keperluan makanan untuk keluarga. Kerajaan memahami dan mendengar rintihan mereka. Justeru, apakah sebahagian daripada bantuan langsung yang disalurkan? Di bawah Bantuan Makanan Rakyat, sejak bulan Januari, lebih 430,000 bakul makanan telah diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia. Mulai Julai 2021, 300,000 keluarga di bawah Program Prihatin Kasih akan menerima bantuan makanan selama 3 bulan berturut-turut dengan nilai keseluruhan RM100 juta. Melalui PEMULIH pula, Kerajaan memperuntukkan RM80 juta di mana RM300,000 telah disalurkan kepada semua kawasan Parlimen dan bakinya adalah untuk membantu komuniti Orang Asli. Dalam menghadapi COVID-19, Kerajaan tidak berkompromi dalam memastikan mereka yang terjejas terus mendapat bantuan. ⠀⠀⠀

Tidak timbul soal memilih bulu dalam menyampaikan bantuan kerana peruntukan ini diberikan kepada semua Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang. Majlis Agama islam Wilayah Persekutuan turut memainkan peranannya membantu mereka yang terjejas. 6,000 keluarga di zon PKPD Wilayah Persekutuan menerima bantuan makanan dari MAIWP. Sejak Disember 2020 hingga kini, RM1 bilion dana zakat telah diagihkan PPZ Wilayah Persekutuan untuk golongan asnaf. Adakah kesungguhan Kerajaan membantu rakyat ini mencerminkan pengurusan yang gagal?⠀⠀

Saya yakin bahawa kita, sebagai rakyat Malaysia akan bersama-sama bangkit mengatasi cabaran ini seperti krisis-krisis sebelum ini, melalui ketahanan dan semangat kerjasama rakyat Malaysia yang telah terbukti. Kegigihan rakyat Malaysia membantu satu sama lain jelas kelihatan, bukan hanya dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, malah dengan menjadi sukarelawan di pusat vaksinasi dan program sokongan sosial yang dikendalikan oleh kerajaan. Jika kita lihat kesungguhan Kerajaan menangani krisis ini dan juga kerjasama padu rakyat Malaysia, sesiapa pun dapat melihat dengan jelas bahawa ini BUKAN tanda-tanda negara yang menuju ke arah kegagalan, tetapi negara yang bertekad untuk melawan wabak yang terburuk dalam sejarah dunia.⠀⠀⠀

Pada masa ini, tidak ada jalan penyelesaian yang sempurna untuk membolehkan kita mengatasi krisis ini sekelip mata. Walaupun begitu, saya yakin strategi yang disusun di bawah PPN bukan hanya sekadar sinar harapan, malah memberikan kita panduan jalan keluar ke destinasi seterusnya. Setiap bencana yang diuji, pasti ada jalan keluarnya. Kegagalan bukanlah satu pilihan. Insya Allah, rakyat Malaysia akan mengatasi krisis ini bersama-sama dan hari-hari yang lebih baik  bakal menanti kita di hadapan.

#PPN #MenangBersama

SUMBER: FB Tengku Zafrul 


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)