PEMILIK KEDAI YANG BUMBUNG DITERBANGKAN RIBUT DAPAT PERHATIAN SEGERA MAIK
PASIR PUTEH, - Kejadian ribut yang melanda negeri Kelantan membabitkan beberapa jajahan turut mengakibatkan kerugian buat seorang peniaga di Kampung Kelubi di Pasir Puteh, Kelantan.
Nasib tidak menyebelahi Wan Affandi bin Yusoff berusia 47 tahun, apabila bumbung kedai sewa yang digunakan untuk menjual sate ikan diterbangkan ribut pada Rabu lalu.
Kejadian itu sedikit sebanyak turut menjejaskan pendapatan hariannya sekiranya tidak dibaikpulih dengan segera.
Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu bersyukur kerana musibah yang dilaluinya itu mendapat perhatian segera daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Setelah mendapat maklum mengenai kejadian yang menimpa Wan Affandi itu, Imam Tua Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Al-Fadhil Ustaz Mohd Sabri bin Abdul Ghani bersama Imam Muda, Al-Fadhil Ustaz Wan Mohamad Syahir bin Wan Mahmood telah bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan wang tunai segera kepadanya.
Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan beban ditanggungnya.
MAIK ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembayar zakat yang terus komited menunaikan kewajipan mereka untuk bersama-sama membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Terima kasih juga kepada orang ramai yang turut membantu dalam menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terkesan.
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan yang disediakan oleh MAIK, orang ramai boleh melayari Portal Rasmi di www.e-maik.my
- SMNETNEWS