MENTERI PERPADUAN NEGARA LANCAR PELAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK TABIKA PERPADUAN 2021-2030
PUTRAJAYA, - YB Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique hari ini telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030. Majlis telah dilaksanakan secara atas talian sejajar dengan pembudayaan norma baharu mencegah penularan wabak Covid-19.
Beliau berkata, Pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak 2021-2030 yang berteraskan cita-cita dan prinsip Rukun Negara dan selari dengan aspirasi Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueperint) Perpaduan Negara 2021-2030 menggariskan enam (6) teras dan 14 strategi merangkumi pemantapan dan pengukuhan yang menyeluruh dari aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), guru tabika perpaduan, tadbir urus, jalinan kerjasama dan sistem pemantauan. Enam teras tersebut adalah:,
i. Memantapkan Elemen Kenegaraan, Perpaduan dan Nilai Murni Dalam Kurikulum Pengajaran Dan Pembelajaran Tabika Perpaduan;
ii. Memantapkan Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP);
iii. Memantapkan Profesionalisme Dan Kepakaran Guru Tabika Perpaduan;
iv. Memantapkan Tadbir Urus Pengurusan Dan Pengoperasian Tabika Perpaduan;
v. Mengukuhkan Jalinan Kerjasama Tabika Perpaduan Bersama Komuniti; dan
vi. Memperkasakan Mekanisme Pemantauan Dan Penilaian Pengurusan dan Pengoperasian Tabika Perpaduan.
Jelasnya lagi, 10 Inisiatif baharu telah diperkenalkan di bawah Pelan ini iaitu:
i. Tiga mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Rukun Negara, Komunikasi Asas Bahasa Ketiga dan Jom Urus Diri.
ii. Tujuh buku aktiviti iaitu buku:
- Pendidikan Rukunegara
- Jom Urus Diri
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Buku Matematik Awal
- Buku Sains Awal
- Pendidikan Moral
iii. Modul Kursus Dan Latihan Guru Tabika Perpaduan
iv. Buku Panduan Pengajaran Tahunan / Mingguan / Harian Tabika Perpaduan.
v. Buku Pentaksiran Harian / Bulanan Tabika Perpaduan
vi. Buku Pengurusan dan Pentadbiran Tabika Perpaduan.
vii. Unit Naziran Tabika Perpaduan
viii. Memantapkan imej dan identiti Tabika Perpaduan.
Usaha mempertingkatkan kualiti Tabika Perpaduan yang dilaksanakan secara inklusif ini adalah bertujuan memastikan semua murid berpeluang menerima pendidikan yang berkualiti dan menepati matlamat penubuhannya sebagai tapak integrasi untuk menyemai dan memupuk semangat perpaduan.
Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 merupakan pelan yang menggariskan hala tuju ke arah memantapkan peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak yang membentuk kemenjadian murid yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, mempunyai semangat cintakan negara serta memiliki akhlak yang mulia.
Beliau berkata lagi, Pelan ini merangkumi usaha penambahbaikan secara menyeluruh meliputi aspek kurikulum, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Tabika Perpaduan dan jalinan kerjasama bersama komuniti. Kejayaan pelaksanaan pelan ini bukan hanya terletak pada usaha dan peranan Kementerian Perpaduan Negara sahaja tetapi ianya memerlukan kerjasama dan komitmen pelbagai pihak khususnya komuniti setempat.
- SMNETNEWS