UMNO TARIK BALIK SOKONGAN TERHADAP MUHYIDDIN YASSIN SERTA MERTA

 


UMNO mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan serta-merta.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Jelasnya, tujuh kegagalan itu antaranya gagal menangani pandemik Covid-19, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan.

Perkara yang disebutkan oleh Ahmad Zahid ialah:

* Kegagalan kerajaan menangani pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan keresahan rakyat, polisi tidak konsisten dengan pelaksanaan PKP separuh masak selama 6 bulan.

* Kegagalan kerajaan amat nyata, dalam menyalahgunakan Darurat yang dianggap sebagai muslihat politik hingga menyebabkan kemudaratan kepada rakyat, ekonomi negara sekali gus menafikan suara UMNO yang membantah proklamasi Darurat. Ini ternyata banyak membebankan rakyat dengan mengenakan kompaun yang bersifat dwi-standard apatah lagi terbeban dengan kelangsungan hidup.

* Kegagalan kerajaan mengamalkan Demokrasi Berparlimen. Membantutkan check-and-balance dalam aspek memerangi pandemik dan perbelanjaan.

* Kegagalan kerajaan memberi bantuan tuntutan kepada rakyat termasuk moratorium terakru, dan tidak dipanjangkan kepada lembaga pembiayaan sektor awam, skim i-Citra tidak mesra rakyat, BPR, BPN yang lambat sehingga ramai rakyat tercicir.

* Kegagalan memberi keyakinan kepada rakyat sehinga peningkatan masalah sosial seperti kes bunuh diri. Daripada Mac 2020 hingga Mei 2021 berjumlah 1099 kes. Manakala kita juga lihat Gerakan Bendera Putih, protes Rakyat untuk menyantuni tekanan rakyat yang terdesak sekarang ini.

* Kegagalan kerajaan meneri kestabilan kerajaan sehingga pelabur asing tiada. Meletakkan negara kita ketiga paling bawah dari 53 negara ekonomi.

* Kegagalan kerajaan dalam memperkotak-katik Raja sehingga Parlimen, dan pelan pemulihan negara. Selaku parti yang menjadi benteng utama, sesungguhnya UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap kerajaan ini terhadap institusi Raja-Raja.

"Justeru, UMNO mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad," katanya pada sidang akhbar sebaik selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diadakan secara maya pada malam Rabu.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan Perdana Menteri baharu, Ahmad Zahid berkata, tempoh pemimpin nombor satu yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

Jelasnya, setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)