204 ORANG PETUGAS KESIHATAN LANTIKAN KONTRAK LAPOR DIRI DI NEGERI SABAH PADA HARI INI
Sehingga petang tadi, sebanyak 165 orang Jururawat Terlatih, 18 orang Juruteknologi Makmal Perubatan dan 21 orang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran telah melaporkan diri dan ditempatkan ke fasiliti-fasiliti di negeri Sabah, di mana mereka adalah petugas kesihatan baharu diluluskan untuk lantikan secara kontak. Baki 152 orang Jururawat dijangka melapor diri pada hari Jumaat ini. Lebih ramai akan melapor diri setelah keputusan ujian RT-PCR dan pemeriksaan kesihatan mereka selesai.
Terdahulu KKM telah memaklumkan umum bahawa SPA dan Kementerian Kewangan telah memberi kelulusan bagi pelantikan secara kontrak untuk 1,223 calon baharu seluruh negara iaitu 624 Jururawat Gred U29, 336 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29, 213 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U29 dan 50 Juruteknologi Makmal Perubatan Gred U29. Sebanyak 317 Jururawat Gred U29 ditempatkan di negeri Sabah, manakala 18 lagi akan ditempatkan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Ini akan menambahkan bilangan tenaga kerja perubatan dan kesihatan di negeri Sabah. Sehingga 27 Oktober 2020, secara keseluruhannya 1,045 kakitangan telah dimobilisasikan secara dalam negeri Sabah (667 orang) dan daripada Semenanjung Malaysia (378 orang) di mana 150 adalah kakitangan Kesihatan Awam dan 895 adalah kakitangan Perubatan. Proses mobilisasi ini akan diteruskan mengikut keperluan di fasiliti-fasiliti negeri Sabah. Setelah melapor diri di negeri Sabah, mereka boleh terus bertugas tanpa perlu menjalani tempoh kuarantin.
SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA