PDRM DAN ATM ADAKAN KERJASAMA STRATEGIK OCP KEKANG KEMASUKAN PATI
LAHAD DATU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan kerjasama strategik melalui pelaksanaan Op Cegah Pati (OCP) Daratan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini.
Kerjasama strategik antara dua agensi penguatkuasaan utama negara itu dipersetujui dalam Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Strategik Pelaksanaan OCP Daratan yang diadakan di Markas 13 Briged ATM, Felda Sahabat, di sini, pagi tadi.
PDRM telah diwakili oleh Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, SAC Tuan Mohd Abduh Ismail, manakala ATM diwakili oleh Panglima 13 Briged, Brigadier Jeneral Tuan Abd Razak Hussin dengan disaksikan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Datuk Ahmad Fuad Othman.
Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Ahmad Fuad berkata kerjasama strategik antara PDRM dan ATM itu merupakan pelengkap kepada OCP Laut yang telah dilancarkan oleh ESSCOM pada April lalu.
Menurutnya lagi, OCP Daratan akan melibatkan seramai 722 kekuatan pegawai dan anggota dari PGA serta ATM bagi mengawal kawasan 'panas', juga 'laluan tikus' yang telah dikenalpasti di empat daerah, iaitu meliputi kawasan Kalabakan, Tawau sehingga ke utara daerah Sandakan.
"Saya berharap dengan pelancaran operasi ini, ianya akan dapat meningkatkan lagi keupayaan, kerjasama dan komunikasi antara agensi yang terlibat bagi membendung kemasukan PATI ke Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna", katanya.
Turut hadir Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Tuan Adnan Abu Hassan, Ketua Staf Operasi Darat ESSCOM, SAC Tuan M. Chandra dan para pegawai kanan PDRM serta ATM.
Sumber: Eastern Sabah Security Command -Esscom