PENUTUPAN SEKOLAH DI KAWASAN ZON MERAH DISELURUH NEGARA
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian berhubung peningkatan kes COVID-19 di beberapa daerah.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Dr Habibah Abdul Rahim berkata peningkatan kes COVID-19 ini telah menjadikan beberapa daerah disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“KPM juga menyedari kekhuatiran ibu bapa dan warga sekolah berkaitan keadaan semasa penularan wabak COVID-19.
“Selaras dengan perutusan Khas YAB Perdana Menteri pada 6 Oktober 2020 berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan zon merah di seluruh negara, KPM memaklumkan bahawa semua sekolah yang telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan ditutup,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.
Menurutnya, dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.
“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” katanya. -