PENINGKATAN KES YANG MENDADAK DI SELANGOR
Dengan pertambahan 132 kes positif hari ini, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Selangor adalah 3,489 kes. Bagi gelombang ketiga ini, negeri Selangor mula menyaksikan peningkatan kes pada penghujung bulan September 2020 setelah kemasukan dan kepulangan pengunjung dari negeri Sabah. Pada ketika itu, nilai Rt adalah sekitar 2.2.
Kluster pertama yang dilaporkan di Selangor dalam gelombang ketiga ini adalah Kluster Jalan Apas, iaitu pada 28 September 2020 di mana ianya telah melibatkan keluarga yang pulang dari Sabah. Peningkatan kes penularan tempatan di dalam negeri Selangor mula dilihat pada 2 Oktober 2020 dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini.
Untuk makluman, sejumlah 26 kluster aktif dicatatkan di Selangor bermula kluster pertama (Kluster Jalan Apas) sehingga kluster terbaru diumumkan (Kluster Hentian):
• Sebanyak 18 kluster aktif (69.2 peratus) adalah kluster jangkitan tempatan, manakala lapan (8) kluster (30.8 peratus) adalah mempunyai perkaitan dengan pengembara pulang dari Sabah.
• Enam (6) kluster terbaru yang dilaporkan sejak 11 Oktober 2020 adalah berkaitan dengan jangkitan tempatan.
• Sembilan (9) dari 26 kluster mempunyai kaitan yang amat rapat dengan penularan di tempat kerja (34.6 peratus).
• Satu (1) kluster dikaitkan dengan tempat membeli belah awam (3.8 peratus).
Situasi ini berikutan kepadatan penduduk dan kadar pergerakan yang tinggi di kalangan penduduk di negeri Selangor dan pengunjung di negeri Selangor. KKM melalui JKN Selangor, PKD WP Kuala Lumpur, PKD WP Putrajaya, semua PKD sekitar ketiga-tiga negeri/wilayah di Lembah Klang ini sememangnya bekerjasama rapat dengan masing-masing Kerajaan Negeri bagi memastikan tindakan dan intervensi Kesihatan Awam di lapangan dijalankan agar situasi penularan ini dapat dikawal.
Hasil pelbagai tindakan yang dijalankan KKM dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pada 18 Oktober 2020 nilai Rt telah menurun daripada 2.2 kepada 1.48. Namun ini perlu diturunkan lagi sehingga kurang 0.3.
Oleh itu, KKM menyeru semua penduduk negeri-negeri Lembah Klang untuk bersama-sama Kerajaan dan terus memerangi COVID-19. Duduklah di rumah, dan jika perlu keluar rumah untuk urusan yang sangat penting, patuhilah sepenuhnya SOP yang ditetapkan.
SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA