ICU HOSPITAL QUEEN ELIZABETH II MASIH TERUS BEROPERASI


 Secara keseluruhannya, sejak permulaan wabak COVID-19 sehingga 9 Oktober 2020, 579 orang kakitangan kesihatan dan perubatan KKM dari pelbagai kategori skim perkhidmatan telah dijangkiti COVID-19. 

Pun begitu khusus untuk negeri Sabah, bagi tempoh yang sama, 198 orang kakitangan KKM telah dijangkiti COVID-19 di mana dalam bulan Oktober sahaja telah mencatat jumlah paling tinggi setakat ini iaitu 85 orang, berbanding bulan September iaitu 66 orang. 

 Bagi situasi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), terdapat seorang jururawat yang dikesan positif COVID-19 setelah menjalani saringan bergejala pada 6 Oktober 2020. Justeru saringan di tempat kerja menggunakan RTK Antigen dan juga RT-PCR telah dijalankan terhadap 92 petugas perubatan (pegawai perubatan dan jururawat) di Hospital Queen Elizabeth II pada 9 Oktober 2020. 

Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks adalah positif COVID-19 manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan PCR. Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah. 

Perkhidmatan di ICU HQE II masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada 8 kepada 6 pesakit. Kesemua pesakit di dalam ICU telah disahkan bebas COVID-19. 

Punca jangkitan masih dalam siasatan. Majoriti jangkitan di kalangan petugas kesihatan di negeri Sabah setakat ini adalah berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain.

Semua petugas kesihatan dan perubatan adalah dinasihatkan untuk memakai Personal Protective Equipment (PPE) yang bersesuaian semasa menjalankan tugas dan mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) sama ada di tempat kerja ataupun semasa di dalam komuniti.  Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan.

Ruang kerja yang sempit dan ruang pantry di tempat kerja juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja. Peperangan dengan Covid-19 ternyata bawa bersama risiko jangkitan dan terkesan kepada petugas kesihatan sekiranya kita tidak patuh kepada amalan kawalan penyakit. Pastikan kita jaga kita.

KETUA PENGARAH KESIHATAN

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)