LEBIH 120 AHLI PARLIMEN NYATAKAN SOKONGAN TERHADAP ANWAR
Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim memberitahu bahawa Yang di-Pertuan Agong telah dimaklumkan tentang perkembangan terkini politik negara.
Beliau menyerahkan dokumen sahih kepada Yang di-Pertuan Agong dalam bentuk akuan bersumpah dan dokumen pengesahan dari ketua-ketua parti politik bagi dipertimbangkan oleh Baginda Tuanku.
Dianggarkan seramai lebih 120 ahli parlimen telah menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai perdana menteri sejak pengumuman dibuat pada 23 September lalu.
Beliau menyerahkan kebijaksanaan dan memohon semua pihak memberi ruang kepada Tuanku untuk membuat keputusan berdasarkan dokumen-dokumen yang telah dipersembahkan kepada Tuanku pagi tadi.
Soal sama ada kerajaan Muhyiddin Yassin telah jatuh berdasarkan perkembangan terkini, beliau memberitahu kerajaan yang akan digantikan dan dibentuk masih lagi mempunyai majoriti Melayu-Islam.
Lebih 100 ribu tontonan yang disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media sosial dilihat dalam sidang media yang diadakan di Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur sekarang.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung parti, Saifuddin Nasution Ismail.